Bismillahirrahmanirrahim
Allah telah menuliskan semuanya; setiap detik perjalanan kita, setiap langkah yang diambil... Dan di situlah tarbiahnya, di situlah hikmahnya yang perlu kita cari; cari seperti ia sangat bernilai dan berharga bagai mencari mutiara-mutiara dalam lautan yang terbentang luas buat kita, cari seperti nyawa kita bergantung padanya. Dan di ketika itulah, hati kita terbuka - seluas-luasnya untuk menerima hidayah Allah dan mendakap cinta dan kasihNya.
Dan pada saat itu, Allah ketemukan kita dengan jiwa-jiwa hambaNya yang mengingatkan kita kembali kepadaNya, yang Allah utus jiwa-jiwanya kepada kita; untuk menyentuh hati-hati kita semula dan menghangatkan rasa dinginnya yang telah lama membeku dalam hati.
Mungkin tidak lama, mungkin masa kita bersama hanya seketika dan tak sesignifikan mana - selepas makan, menunggu untuk solat - bahkan jika dilihat dari jauh terasa seperti perbualan-perbualan biasa yang selalu dituturkan oleh orang kebanyakan. Namun di selang waktu-waktu itu, hatiku disentuh semula, dihidupkan apinya setelah sekian lama mula malap dengan arus waktu, di dalam hatiku, kuamati setiap bait kata-katamu dan entah mengapa pada waktu itu, hatiku dengan mudah menerimanya dan dengan mudah mengalirkan airmata. Ukhti, mungkin kita baru sahaja berkenalan, mungkin perkenalan kita tidak sedalam mana dan mungkin juga pada hari ini terasa seperti hari-hari yang biasa tetapi subhanAllah mungkin Allah telah mengutusmu untukku dan akhawat di sini untuk mengingatkan kembali mengapa kita berada di sini, di ketika ini, bersama kafilah ini.
Buat akhawatku di mana sahaja kamu berada, jangan pernah kamu sesali jalanmu ini, jangan pernah kamu sesali keberadaanmu di sini. Hatimu telah Allah sentuh dan sentak sekian banyak kalinya lewat murobbi-murobbi yang senantiasa tekun dan tidak putus-putus asa mentarbiah dan sahabat-sahabat di sekelilingmu yang tidak pernah jemu dan penat untuk menasihatimu dan berada di sampingmu walau sepahit dan sesukar mana perjalanan hidupmu. Ikatan ini bukan hanya ikatan keduniaan, bilamana ia akan terputus kerana sudah tiada lagi manfaat yang dapat diberikan. Ikatan ini bukan ikatan kebangsaan, yang hanya wujud kerana warna kulit yang sama atau tempat lahir yang sama. Ikatan ini adalah ikatan tasbih Allah, yang setiap butir tasbihnya melengkapi satu sama lain. Tanpa satupun butir tasbih itu, maka tidak lengkaplah tasbih itu.
Mungkin kita menyangka bahawa keberadaan kita tidak penting, tidak mendatangkan manfaat apa-apa pada dakwah ini. Mungkin kita merasa bahawa jika kita tidak menghadirkan diri dalam perkumpulan-perkumpulan seperti ini, banyak lagi perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk menggantinya.
Dengan rendah hatinya, dengan penuh kasih sayang padamu, aku katakan tidak, ukhti. Kamu tidak akan mendapatkan perkumpulan-perkumpulan ini sejauh mana kamu mencari di lautan dunia ini. Kerana di setiap saat bersama, di setiap pelukan dan sentuhan, dosa-dosa kita diampuni oleh Allah! Kerana di setiap saat bersama, kekuatan kita akan terus bertambah dan bertambah! Kerana di setiap saat bersama, ikatan sesama kita dan ikatan kita dengan Allah akan diperkukuhkan lagi!
Dan percayalah, dan imanilah bahawa jika kita tidak mengambil peluang ini dan menggenggamnya sekuat hati, maka kita akan diganti oleh orang lain.
"Maka jika kamu berpaling, maka sungguh, aku telah menyampaikan kepadamu apa yang menjadi tugasku sebagai rasul kepadamu. Dan Tuhanku akan mengganti kamu dengan kaum yang lain, sedang kamu tidak dapat mendatangkan mudarat kepadaNya sedikit pun. Sesungguhnya Tuhanku Maha pemelihara segala sesuatu."
Al-Hud, 11:57
Genggam eratlah nikmat dan hidayah yang telah Allah kurniakan kepadamu. Peganglah sekuat-kuatnya islam yang telah dikurniakan kepadamu. Dan ingatlah bila islam itu sampai kepada kita, kongsikanlah ia bersama yang lain! Kerana ia telah dikongsikan bersama kita pada awalnya.
S.H.A.R.E. = Saya Harap Allah REdha
Uhibbukunna fillah,
Bint Fadhil.